Isu perkauman dan sentimen keagamaan yang dimainkan pembangkang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, antara faktor kekalahan calon Pakatan Harapan (PH).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu kononnya Islam dipinggirkan di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO menerima keputusan pengundi itu dengan hati terbuka dan akan memperbaiki setiap kelemahan untuk menghadapi PRK DUN Nenggiri tidak lama lagi.
“Isu yang dibangkitkan (oleh pembangkang) bukan saja soal perkauman, tetapi juga soal kebencian.
“Kita terima itu permainan politik mereka. Tapi kita berazam di dalam komponen Kerajaan Perpaduan, bahawa kita akan terus berusaha dan ini bukan penghujung dan jalan terakhir kepada PRK mana-mana calon parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Telok Mas, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya, Pengerusi BN itu turut mengingatkan kepemimpinan serta ahli parti senario politik ketika ini sudah berubah dan mereka jangan ‘syok sendiri’.
“Di Sungai Bakap, saya melihat ‘mood’ ketika itu masih bersama dengan kita. Malah jentera UMNO dan BN cukup kuat. Mengapa nasib tidak menyebelahi kita.
“Benar kita boleh bawa pelabur. Benar kita boleh bawa pelancong. Benar kita boleh bawa pembangunan. Tiba masanya fitnah yang tersusun akan mengatasi yang hak. Batil tersusun akan mengatasi kebenaran. Ingat itu,” katanya.-BH Online