Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menambah heraki mahkamah syariah sedia ada kepada empat peringkat merupakan antara syor yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan (JKSK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ketika ini mahkamah syariah mempunyai tiga peringkat yang meliputi mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah.

Selain itu, mesyuarat itu juga akan mengesyorkan penambahbaikan fungsi pengurusan dan pentadbiran mahkamah syariah di seluruh negara.

“Besar harapan saya agar mesyuarat JKSK menjadi ruang kepada penambahabaikan mahkamah syariah secara keseluruhannya.

“Kerajaan Madani yang menerajui pemerintahan negara sangat komited dalam usaha memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah secara keseluruhannya,” katanya selepas Sesi Khas Pertemuan dan Amanat bersama ahli JKSK, di sini, malam ini.

Katanya, syor atau perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut kemudian akan diangkat menjadi resolusi untuk dibentangkan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Resolusi-resolusi tersebut yang sebelum ini hanga dibincangkan dalam persidangan kehakiman akan dibawa masuk ke MKI yang seterusnya akan diperkenan oleh Majlis Raja-Raja.

“Jadi semua isu berkaitan kehakiman mahkamah syariah boleh diselaraskan satu negara, itu yang kita harapkan,” ujarnya.

JKSK merupakan jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah MKI yang telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Pada Februari lalu, nama-nama ahli jawatankuasa telah dipersembahkan untuk diperkenan Tuanku Pengerusi MKI ketika itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Sharafuddin telah memperkenankan
pelantikan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada enam ahli yang dilantik dalam kalangan pakar undang-undang dan ahli akademik.

Ia turut disertai 14 wakil dari setiap negeri yang terdiri daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri.

Mesyuarat Kali Pertama JKSK diadakan bagi mempertemukan ahli-ahli serta membincangkan gerak kerja, hala tuju dan menetapkan terma rujukan.

Penubuhan JKSK merupakan langkah signifikan dalam usaha memperkukuh dan memperkembang perundangan syariah di Malaysia dan secara khusus berperanan meningkatkan dan memartabatkan sistem kehakiman syariah secara holistik. – MalaysiaGazette