Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata pengagihan itu adalah yang kedua bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 selepas pengumuman dividen interim sebanyak 2.5 sen pada 5 Januari lalu.

Beliau berkata, dividen itu diagihkan berikutan prestasi syarikat pengurusan dana milik kerajaan Sarawak itu yang semakin memuaskan selepas melalui proses penstrukturan semula.

“Pengagihan dividen ASSAR iaitu dividen tambahan sebanyak 3.5 sen seunit menjadikan jumlah keseluruhan pulangan dividen ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 sebanyak adalah sebanyak 6.0 sen seunit selepas kita mengumumkan dividen interim 2.5 sen seunit pada awal tahun ini.

“Ia membabitkan pengagihan sebanyak RM16.39 juta kepada 57,542 pelabur, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 30 Jun 2024 dan secara keseluruhannya jumlah agihan adalah RM28.1 juta berbanding pendapatan bersih RM36.16 juta.

“Lebihan pendapatan sebanyak RM8.06 juta akan disimpan sebagai rizab untuk tahun kewangan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan dividen ASSAR di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Pengerusi ASSAR, Datuk Seri Wahab Dollah.

Abang Johari berkata, beliau cukup berbangga dengan kejayaan ASSAR memberikan hasil dividen yang kompetitif berikutan prestasi pasaran modal yang memuaskan bagi tahun kewangan 2024, dengan portfolio ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi tabung. 

“Selain pengagihan dividen yang cukup kompetitif ini, saya ingin menekankan bahawa ASSAR adalah satu instrumen pelaburan atau simpanan yang selamat dan berisiko rendah dengan adanya mekanisme jaminan harga minimum RM1.00 seunit, yang merupakan ciri utama ASSAR sejak tahun 1998. 

“Mekanisme jaminan harga minimum itu akan terus memainkan peranan untuk mengurangkan sebarang impak

kemelesetan ekonomi serta kejatuhan teruk pasaran saham terhadap modal pelabur ASSAR,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jaminan harga minimum itu membolehkan unit ASSAR dijual balik pada harga minimum RM1.00 seunit sepanjang tempoh jaminan, dalam apa juga keadaan ekonomi atau pasaran saham, sekali gus melindungi pelabur daripada mengalami kerugian besar ke atas modal mereka. 

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak akan memainkan peranan penting dalam perniagaan perbankan di Malaysia dengan pengambilalihan sebuah institusi perbankan tidak lama lagi.

“Sarawak akan menjadi pemegang utama di dalam institusi berkenaan dan saya akan mengumumkannya secara rasmi pada 19 Julai ini,” katanya.-BH Online