Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkasakan Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) sebagai rakan strategik dalam usaha membendung kes penderaan kanak-kanak serta keganasan rumah tangga.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, menegaskan isu keselamatan golongan rentan, khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, tidak boleh dipandang remeh.

Beliau berkata, tugas melindungi golongan itu adalah tanggungjawab bersama semua pihak pada segenap peringkat, terutama komuniti setempat.null

“Oleh itu, kementerian akan memperkasakan organisasi-organisasi ini dengan memberi geran bagi menggerakkan peranan mereka sebagai rakan strategik KPWKM.

“Peranan komuniti seperti ketua kampung, persatuan/pertubuhan komuniti, guru, jiran serta sukarelawan, adalah amat penting untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa, terutama kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Replika Cek, Sijil dan Penyerahan Kerusi Roda kepada golongan sasar KPWKM, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Nancy turut menyerahkan bantuan kewangan kerajaan bernilai RM558,723.60 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Puteri Gunung bagi menampung pemberian elaun pelatih OKU, sagu hati penyelia dan petugas, sewaan premis serta utiliti.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM133.55 juta disalurkan kerajaan kepada PPDK seluruh negara, termasuk RM8.43 juta bagi PPDK di Pulau Pinang, setakat April lalu.

Hingga kini, terdapat 570 PPDK di seluruh negara, termasuk 24 di Pulau Pinang.

Program PPDK adalah antara strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU. – BERNAMA