Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah menerima notis untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen BERSATU, Jumaat lalu. 

Johari memaklumkan berikutan itu, keputusan berhubung kedudukan mereka akan diputuskan dalam tempoh 21 hari.

“Saya sudah terima notis berkenaan Jumaat lalu daripada Ahli Parlimen Beluran yang juga Ketua Whip (Datuk Seri Dr Ronald Kiandee). Mengikut undang-undang saya ada 21 hari untuk mengkajinya.

“Insya-Allah bila saya sudah ada keputusan, saya akan maklumkan kepada anda. Harap bersabar,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Seni Sempena Ulang Tahun ke-55 Hubungan Diplomatik Malaysia-Romania, hari ini. 

Sebelum ini, Ronald pada Khamis lalu mengemukakan notis kepada Johari, meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Ia susulan keahlian mereka digugurkan serta merta kerana gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Surat arahan itu dikeluarkan BERSATU kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini, bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaannya terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Jun lalu berkata, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN BERSATU sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ini bermakna, enam Ahli Parlimen iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan BERSATU.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Minggu lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi yang digugurkan.-BH Online