Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pengangkutan menggesa pemilik kenderaan barangan supaya segera mendaftarkan kenderaan masing-masing di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 untuk menikmati subsidi diesel oleh kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan telah memberikan mereka ruang untuk mendaftar kenderaan.

“Jika mereka tergolong dalam mana-mana kategori yang terdiri daripada SKDS 2.0, mereka haruslah mendaftarkan diri untuk mendapatkan subsidi… kalau tidak mereka akan salahkan kerajaan pula, kata kita tak bagi subsidi dan mereka naikkan harga.

“Jadi ini tanggungjawab mereka untuk tampil ke depan dan daftar. Harga diesel masih tidak berubah untuk mereka yang memegang fleet card SKDS 2.0, jadi saya harap mereka boleh memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Batik Air dan Kia di sini, hari ini.

Loke berkata demikian menjawab pertanyaan media berkaitan pendedahan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh iaitu lebih 180,000 kenderaan barangan didapati masih belum mendaftar di bawah SKDS 2.0 bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel oleh kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kementeriannya akan melantik vendor bagi nombor pendaftaran khas kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata, proses berkenaan sedang dilaksanakan dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebaik siap.

“Pada masa ini kami masih melakukan beberapa penyelesaian teknikal. Apabila siap, kita akan buat pengumuman. 

“Ia nombor plat khas. Kita akan memulakannya secara sukarela… sudah tentu akan diwajibkan kepada semua EV baharu, namun untuk EV sedia ada akan diberikan pilihan sama ada menukar atau kekal yang lama,” katanya.

Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata, nombor pendaftaran khas itu akan memudahkan untuk mengenal pasti sesebuah EV jika berlaku kemalangan kerana ia memerlukan cara pengendalian berbeza.–BERNAMA