Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dianggap peluang terbaik untuk Kerajaan Perpaduan mencipta sejarah jika calonnya, Dr Joohari Ariffin, diangkat menjadi wakil rakyat pada 6 Julai ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PRK Sungai Bakap berbeza dengan PRK yang diadakan sebelum ini apabila penyandang parti masing-masing bertanding berjaya mengekalkan kemenangan.
Katanya, kerusi DUN Sungai Bakap sebelum itu adalah milik PH sebelum ia beralih kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu.
“PRK (Sungai Bakap) kali ini memang (Kerajaan Perpaduan) nak menang (tawan semula kerusi) dan kukuhkan kerajaan di Pulau Pinang.
“Berbeza dengan PRK Simpang Pulai semasa (Datuk Seri Salahuddin Ayub) meninggal dunia dan kita berjaya kekalkan (kemenangan) yang ia tidak ada kejutan.
“Di Kemaman (PRK) juga menyaksikan (PN) kekal (menguasai kerusi itu) dan ini (Sungai Bakap) kalau sebelum ini PN menang tetapi ini peluang terbaik Kerajaan Perpaduan cipta sejarah dengan calon yang kita kemukakan,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin bersama beberapa kepemimpinan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) ditemui media selepas mengiringi Joohari ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pengundi di DUN Sungai Bakap diminta membuat penilaian dengan baik apabila keadaan ketika ini turut berbeza dengan PRN lalu apabila Pulau Pinang berada bersama-sama Kerajaan Perpaduan.
“Semasa itu (PRN enam negeri) membayangkan kerajaan Pusat jatuh dan bukan sedikit yang terpesona (dengan bayangan itu) namun keputusan 3-3 membuktikan Kerajaan Perpaduan kekal kompak dan berfungsi dengan baik.
“Jadi sekarang ‘clarity’ (jelas) sudah wujud dan jauh berbeza (dengan keadaan dulu). Walaupun kami ambil sikap optimistik tetapi kami kena ‘reach out’ dan mampu buat itu dengan kehadiran (jentera parti) kerajaan perpaduan.
Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Perpaduan sudah 18 bulan dibentuk di negeri itu ketika memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN lalu yang ia menunjukkan pencapaian amat baik.
“Sudah 18 bulan kita buat keputusan tubuh Kerajaan Perpaduan yang sudah mula tunjuk pencapaian dan penghasilan dari segi ekonomi serta pengurusan kewangan.
“Oleh itu adalah penting semangat perpaduan ini dalamdalam kalangan parti politik dan penyokong bagi membolehkan kerajaan negeri dapat menuju ke hadapan yang mana saya harap (PRK Sungai Bakap) ia dapat memperkukuhkan apa yang sudah dimulakan 18 bulan lalu,” katanya.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan PN yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 2 Julai.-BH Online