Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sarawak tidak akan mengeksploitasi mineral berharga yang tersimpan di perut buminya secara berlebihan kerana ia dikhuatiri boleh membawa kepada kemusnahan sumber. 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata perlombongan mineral itu akan dihadkan hanya untuk menghasilkan produk bernilai tinggi sahaja.

Justeru katanya, beliau menghantar pasukan ke Kanada minggu lalu bagi meneliti kaedah perlombongan mineral di negara berkenaan yang dibuat secara bersistematik yang tidak menjejaskan kelestarian alam semulajadi.

“Kita tidak akan mengeksploitasi secara besar-besaran sebaliknya akan hanya akan mengambil sedikit sahaja mineral yang dikenal pasti banyak didapati di Sarawak. 

null

“Sebab itu kita meneliti kaedah yang dilaksanakan di Kanada kerana negara itu dikenali antara pengurusan terbaik dalam perlombongan dan mereka tidak menjejaskan alam sekitar kerana kawasan perlombongan dipulihkan selepas kerja-kerja eksplorasi dilaksanakan,” katanya selepas Majlis Ibadah Korban Jabatan Premier Sarawak di Wisma Sabati, hari ini. 

Beliau mengulas pendedahan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam mengenai simpanan bahan mineral di Sarawak dianggarkan bernilai lebih RM1.25 trilion. 

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, selain meneliti kaedah pengurusan perlombongan, delegasi yang diketuai Awang Tengah itu turut meneliti sudut perundangan yang diguna pakai di Kanada. 

“Sebab itu kita turut menghantar Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Peguam Besar Sarawak, Datuk Saferi Ali. 

“Mereka meneliti undang-undang untuk diadaptasi dalam sektor perlombongan di Sarawak,” katanya. 

Menurutnya, beliau masih menunggu laporan penuh hasil lawatan itu untuk memutuskan langkah seterusnya bagi memulakan eksplorasi mineral berharga di Sarawak. 

Sementara itu, Abang Johari berkata, pihaknya sudah meneliti kadar gaji baharu untuk penjawat awam Sarawak. 

Bagaimanapun katanya, ia hanya akan dimuktamadkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar gaji baharu penjawat awam Persekutuan pada pembentangan Bajet 2025 nanti. 

“Ia (gaji baharu Sarawak) bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri kerana kita mahu gaji penjawat awam Sarawak selari dengan gaji Persekutuan,” katanya. 

Mengenai kesediaan Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), Abang Johari berkata, ia satu langkah baik untuk mengukuhkan ekonomi. 

Ini kerana katanya dua negara kuasa ekonomi Asia iaitu China dan Russia berada dalam BRICS. 

“Perdana Menteri (Anwar) melihat dua negara penting di Asia ada di situ (BRICS) sebab itu beliau memutuskan untuk menyertai organisasi itu dan Sarawak turut bersetuju dengan langkah itu,” katanya.-BH Online