Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Sarawak menerima geran daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan bagi melaksanakan kajian pembangunan hala tuju hidrogen di negeri ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, geran berkenaan yang disalurkan kepada Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar membolehkan satu pelan tindakan komprehensif dilaksanakan untuk memanfaatkan potensi besar tenaga hidrogen.

Tanpa mendedahkan jumlah geran yang diterima, beliau berkata, pemberian geran oleh kerajaan Korea Selatan itu menunjukkan komitmen Sarawak untuk memacu peralihan tenaga secara kolektif mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Dalam usaha membangunkan tenaga hidrogen, Sarawak komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

“Ia bagi memacu peralihan tenaga dan secara kolektif mencapai matlamat dalam menangani perubahan iklim kita dan saya ingin mengumumkan Kerajaan Sarawak memperolehi geran pengajian berprestij daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan, Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pameran dan Persidangan Hidrogen Hijau Asia Pacific 2024 (APGH 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi Borneo Business Connect Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Sebanyak 95 organisasi global mengambil bahagian dalam pameran sempena APGH 2024 dengan kira-kira 500 delegasi tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 negara mengambil bahagian dalam sesi persidangan itu.

Abang Johari berkata, dalam usaha membangunkan tenaga hidrogen hijau Sarawak menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat terkemuka antaranya Sumitomo Corporation, ENEOS, Samsung Engineering, Korean National Oil Company, LOTTE dan Gentari.

“Kerjasama ini menunjukkan sikap proaktif Sarawak terhadap hidrogen, iaitu asas ekonomi baharu negeri dan komponen penting masa depan tenaga mampan.

“Mereka akan memudahkan pemindahan teknologi dan pertukaran pengetahuan, membolehkan Sarawak mendapat manfaat daripada pemain yang mapan dalam bidang itu dan memajukan kapasiti dan inovasi tempatan dalam membangunkan ekonomi hidrogen,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Tenaga Bersih di Sarawak. 

“Pusat kecemerlangan itu akan menjadi hab inovasi, penyelidikan dan pembangunan, menghimpunkan saintis, jurutera, penggubal dasar dan pemimpin industri untuk merintis teknologi termaju yang memanfaatkan sumber boleh diperbaharui. 

“Ia akan memacu kemajuan dalam tenaga bersih seperti hidrogen, hidroelektrik, tenaga suria dan biojisim dengan perhatian akan tertumpu kepada penyelesaian tenaga mampan yang memenuhi keperluan semasa sambil menjaga kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.-Harian Metro