Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Usaha tingkat kesedaran dan pengetahuan teknologi pertanian moden dalam kalangan petani dan pengusaha tempatan menjadi antara aspirasi utama penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, pada September depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata melalui pameran pada 11 hingga 22 September ini, pengunjung dan pemegang taruh akan dapat merasai pengalaman secara langsung untuk aplikasi inovasi seperti pertanian pintar, penggunaan data besar (Big Data) dan automasi boleh diaplikasikan dalam operasi harian mereka.

Katanya, MAHA kali ini perlu menjadi wadah atau platform untuk mempromosikan produk pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa. 

“Dengan penyertaan pelbagai delegasi dan pelabur antarabangsa, adalah diharapkan menerusi inisiatif ini produk-produk keluaran tempatan akan dapat menembusi pasaran global dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha tempatan.

“Selain itu, penganjuran MAHA 2024 juga perlu menekankan fokus untuk menggalakkan amalan pertanian lestari yang dapat memelihara alam sekitar dan memastikan kelestarian sumber pertanian. 

“Saya berhasrat untuk memastikan bahawa pertanian yang kita laksanakan hari ini tidak hanya memenuhi keperluan masa kini tetapi juga dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran MAHA 2024, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAHA 2024 turut memberi penekanan kepada internet kebendaaan (IoT) dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan. 

Katanya, sektor pertanian bukan hanya tentang pengeluaran makanan semata-mata, sebaliknya ia juga merangkumi aspek ekonomi, sosial dan ekologi yang lebih luas.

Sehubungan itu beliau menyeru petani, usahawan dan semua penggiat industri pertanian mengambil peluang ini bagi mempelajari teknologi dan amalan terbaru yang akan dipamerkan di MAHA 2024. 

“Jadikanlah pameran ini sebagai platform untuk berkongsi pengalaman, bertukar idea, dan mencari rakan niaga yang berpotensi,” katanya.-BH Online