Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu laporan penuh berhubung kemalangan bas bawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka sehingga mengorbankan tiga individu di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah, Pahang, awal pagi tadi.

Menterinya Fadhlina Sidek, berkata pihaknya berdukacita terhadap insiden berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan.

“KPM kita sedang mengambil semua langkah untuk dapatkan laporan penuh punca kejadian.

“Pada masa sama, kita juga (menjaga) kebajikan guru yang sebahagiannya (kini) ada di hospital untuk rawatan termasuk juga (kebajikan) keluarga (mereka). 

“Sekolah (akan dibuka) esok dan oleh kerana sekolah ini kehilangan guru, maka kita kerahkan kaunselor untuk turun ke sekolah ini untuk memberikan sokongan psikososial kepada rakan guru termasuk juga anak murid yang kehilangan guru dalam kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sebuah taman tema di Bertam, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dua termasuk seorang wanita maut selepas bas ekspres membawa rombongan guru terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, seramai 37 penumpang lagi dilaporkan cedera dan dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan.

Semasa kejadian, bas membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu itu dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu sebelum terbabas dan terjunam ke bawah cerun selepas berlanggar dengan sebuah treler.-BH Online