Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia terus menegaskan pendirian berhubung isu Palestin di platform antarabangsa, selain menggariskan empat perkara utama dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata empat perkara itu ialah meminta negara anggota kumpulan D-8 perlu secara sebulat suara menyokong pelaksanaan gencatan senjata kekal serta menghentikan dana dan bantuan kepada Israel termasuk kerjasama ekonomi yang menyumbang kepada ketenteraan dan kependudukan haram rejim Israel.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar D-8 di Turkiye, turut menggesa negara kumpulan berkenaan meningkatkan bantuan kemanusiaan dan memastikan bantuan dapat disampaikan dengan selamat serta tanpa halangan kepada Palestin, selain menubuhkan kerjasama antara D-8 dengan Palestin.

“Malaysia dan negara anggota kumpulan D-8 lain bersama-sama menyatakan solidariti dan sokongan jitu kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mencari penyelesaian terhadap krisis di Gaza, seperti digariskan dalam Deklarasi Mesyuarat Tergempar yang diluluskan. 

null

“Deklarasi berkenaan antara lain, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan berterusan Israel di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki, menuntut gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat serta menyokong usaha pemulihan ekonomi dan Gaza selepas pengunduran rejim Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyertaan Malaysia di persidangan berkenaan adalah atas undangan Raja Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Malaysia komited dalam usaha ke arah penubuhan Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta Palestin diterima sebagai Anggota Penuh PBB.

Mohamad berkata, penyertaan Malaysia di Mesyuarat Tergempar D-8 itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan dan komitmen jitu negara memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

Undangan kepada Malaysia bagi menyertai Mesyuarat Tergempar D-8 antara lain mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas komitmen negara membantu rakyat Palestin,” katanya.

Pada sesi sama, Mohamad turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dengan kedua-duanya bertukar pandangan mengenai pelbagai isu kerjasama antarabangsa, serantau dan dua hala yang berkepentingan, terutama berkenaan isu Gaza. 

Beliau juga bertukar pandangan dengan rakan sejawat yang lain mengenai langkah yang boleh diambil oleh D-8 untuk meningkatkan usaha dalam mencari penyelesaian kepada kesengsaraan menimpa rakyat Palestin.

Sementara itu, Mohamad berkata, usaha negara memperjuangkan isu Palestin akan diteruskan menerusi penyertaan beliau ke Persidangan Peringkat Tinggi ‘Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza’ di Jordan, Selasa ini.

Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk penyaluran bantuan kemanusiaan untuk Gaza-BH Online