KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan 29 September sebagai Hari Ikhtisas Malaysia bagi menghargai sumbangan golongan profesional dalam pembangunan negara.
Anwar berkata, penetapan hari berkenaan mempunyai rasional yang jelas kerana ia dapat menjadi wadah menyatukan tenaga profesional daripada pelbagai disiplin serta memperkukuh kerjasama merentas bidang.
“Saya bersetuju terhadap cadangan untuk menetapkan 29 September sebagai Hari Ikhtisas Malaysia memandangkan terdapat rasional yang jelas untuk menyatukan golongan profesional daripada pelbagai bidang.null
“Ini kerana kekuatan komuniti profesional terletak pada kepelbagaiannya merentas disiplin dan badan-badan profesional mampu menggabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang serta memperkukuh kerjasama di seluruh negara.
“Diharapkan golongan profesional terus menyumbangkan kepakaran demi pembangunan negara serta membantu menjana idea dan penyelesaian baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC di sini, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia memerlukan tenaga profesional yang mantap untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak, meningkatkan produktiviti dan pada masa sama memperkukuh tadbir urus negara.
Katanya, antara cabaran utama negara ialah memastikan pentadbiran dilaksanakan dengan tahap kecekapan tinggi, selain membendung salah guna kuasa, kecelaruan dan rasuah.
“Pertama, dengan tahap kecekapan yang boleh meningkatkan produktiviti dan kedua, mengelak daripada salah guna kuasa, kecelaruan serta rasuah.
“Ia ada kaitan antara penggubal serta pelaksana dasar, sama ada pimpinan politik, penjawat awam dan tenaga profesional yang mesti satu aliran.
“Ketiga-tiganya mesti bergerak pantas sebagai satu pasukan, menjamin peningkatan produktiviti dengan tahap kecekapan yang sangat baik dan pada masa sama juga menjamin supaya amalan dan budaya yang meleset, yang menyebabkan negara kerugian puluhan bilion ringgit dihentikan.
“Ini saya popularkan istilah `sakau’, tapi ada yang kurang senang,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa kecemerlangan profesional memerlukan penguasaan bidang pengkhususan, namun kepakaran berkenaan tidak seharusnya berkembang secara terasing daripada disiplin lain.
Beliau merujuk pandangan pemikir Sepanyol, José Ortega y Gasset, mengenai kepentingan pengkhususan dan risiko apabila seseorang terlalu tertumpu kepada satu bidang sehingga gagal memahami kaitannya dengan dunia lebih luas.
Katanya, usaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pengkhususan adalah suatu kemestian dan sesebuah masyarakat atau negara yang gagal membangunkan tahap profesionalisme tinggi berisiko ketinggalan.
“Sekarang apabila kita bicara soal kecerdasan buatan (AI), ia juga adalah salah satu bidang pengkhususan, pengkomputeran kuantum dan transformasi digital. Semua itu menuntut satu gagasan pengkhususan yang tinggi.
“Sebab itulah Ortega y Gasset menyebut, memperingatkan kita dan sungguh mengagumkan bahawa ia kekal benar-benar relevan sehingga kini.
“Kata Ortega, pengkhususan itu satu kemestian, namun jangan jadikan ia ‘kebiadaban pengkhususan’. Mengapa dia katakan kebiadaban? Kerana orang yang terlalu mengkhusus, dia tidak tahu langsung. Tidak ada integrasi,” katanya.
PROFEX 2026 anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 September dengan tema ‘Menyatukan Profesion, Mentransformasikan Masa Depan Malaysia’.
Menurut laman rasmi PROFEX 2026, acara itu menjadi platform menghimpunkan golongan profesional, pemimpin industri, ahli akademik, agensi kerajaan dan bakat baharu bagi memperkukuh kerjasama merentas disiplin, perkongsian ilmu serta pembangunan profesional.
BIM pula ditubuhkan pada 1973 dengan bantuan Commonwealth Foundation sebagai badan penaung kepada profesion di Malaysia dan kini mempromosikan nilai integriti, akauntabiliti, ketelusan serta tadbir urus baik dalam kalangan komuniti profesional.
Menurut PROFEX, BIM kini mewakili 23 persatuan profesional dengan lebih 120,000 profesional daripada pelbagai disiplin di seluruh negara.
Bidang yang diwakili merangkumi antaranya perubatan, kejuruteraan, seni bina, ukur, perancangan, sains, pertanian, logistik dan pengauditan dalaman. -BH Online

