Malaysia kekal dengan pendirian berkecualinya dan tidak memilih mana-mana kuasa besar di tengah-tengah ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perbincangan berterusan dan spekulasi negara mana dipilih Malaysia bukan saja tidak produktif, sebaliknya akan menyumbang kepada timbulnya ketidakpercayaan dan syak wasangka.
Beliau berkata, menganggap Malaysia condong kepada satu pihak, bukan saja tanggapan berlebihan, tetapi persepsi yang salah terhadap kepentingan dan watak negara.
“Kami sangat merdeka. Maksudnya, kami enggan ditakrifkan oleh bagaimana kuasa besar melihat dunia dan Malaysia akan terus berusaha untuk kepentingan nasional dan strategiknya, yang ditakrifkan mengikut syarat kami sendiri.
“Malaysia mementingkan keamanan dan kemajuan, saling menghormati dan yang paling penting, pematuhan kepada undang-undang dan kerjasama antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi ISIS, Profesor Datuk Faiz Abdullah.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN tahun depan akan berusaha dengan negara anggota untuk mendepani cabaran sekali gus meredakan krisis di Myanmar.
“Cabaran sukar yang mesti kita hadapi ialah krisis di Myanmar, memandangkan skala kematian, perpindahan dan pertempurannya. Mesej yang harus disampaikan ASEAN mesti datang daripada penyatuan suara.
“Kegagalan untuk bertindak, apabila terdapat banyak sebab untuk mempercayai bahawa sesebuah negara anggota melanggar semangat Piagam ASEAN, ia adalah mengabaikan kewajipan moral kita.
“Biarpun bukan hak kami untuk memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat Myanmar, adalah menjadi tanggungjawab kami, rakan dan jiran, untuk membantu memudahkan apa dan di mana yang kami boleh,” katanya.
Anwar sebelum ini menetapkan nada jelas mengenai apa itu ASEAN dari kaca mata Malaysia iaitu menekankan kepentingan dialog dan kerjasama untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran.-BH Online