Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan dengan FUJIFILM Healthcare Americas Corporation (FUJIFLM) mengenai perancangan pelaburan dan sokongan yang boleh dilaksanakan oleh syarikat itu dalam sektor kesihatan di Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesi terbabit dijalankan sempena kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden FUJIFILM, Hidetoshi Ilzawa serta delegasinya ke Pejabat Perdana Menteri petang tadi.
Beliau berkata, perbincangan itu turut membabitkan penjagaan kesihatan, latihan dan dokumentasi rekod perubatan.
“Pertemuan dan perbincangan hari in selari dengan fokus kerajaan dalam menggerakkan transformasi teknologi, terutamanya dalam sektor awam,” kata Anwar menerusi hantaran di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) beliau hari ini.
FUJIFILM adalah syarikat utama dalam inovasi penyelesaian diagnostik dan pengimejan perusahaan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang merentasi pencegahan, diagnosis dan rawatan.-Bernama