Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pelaburan dalam ekonomi perak atau ‘silver economy’ bagi menghadapi populasi lanjut usia yang semakin meningkat di negara ini.
Pelaburan itu, Perdana Menteri memberi contoh, adalah dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur yang kondusif dan menyokong penuaan aktif.
Sehubungan itu, beliau meminta lebih banyak sektor swasta terbabit dalam pembangunan produk dan penyelesaian dalam semen warga emas serta ‘silver economy’ kerana persediaan untuk Malaysia yang semakin tua memerlukan pendekatan seluruh negara.
‘Silver economy’ merujuk segmen ekonomi berkaitan populasi dewasa lanjut usia atau penuaan, biasanya di atas umur 50 tahun, tetapi tidak terbatas pada perkhidmatan kesihatan, perumahan, pelancongan atau rekreasi.
Seiring penuaan penduduk di banyak negara, ‘silver economy’ semakin penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial, menekankan pentingnya memahami keperluan dan keinginan populasi lebih tua serta mencipta peluang ekonomi yang memanfaatkan segmen demografi itu.
“Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga yang disasarkan membangunkan ‘silver economy’ di Malaysia.
“Saya menunggu lebih banyak pembabitan sektor swasta lain,” kata Perdana Menteri pada majlis perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Anwar berkata, dengan memperuntukkan sumber ke arah itu, Malaysia boleh memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat, dianggarkan bernilai AS$15 trilion yang didorong oleh keperluan dan keutamaan asas pengguna yang semakin tua.
“Pelaburan sedemikian bukan sahaja menjanjikan pulangan yang besar tetapi juga menggariskan komitmen Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti kehidupan penduduk yang semakin tua sambil memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara,” katanya.-BH Online