Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memasang meter air pintar secara berperingkat dengan fasa pertama dimulakan tahun ini membabitkan 2,000 akaun pengguna di Balik Pulau.null

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Pathmanathan, berkata pihaknya memperuntukkan RM2.5 juta bagi menampung kos pemasangan meter air pintar berkenaan dengan usaha itu akan diperluaskan kepada 20,000 akaun pengguna di kawasan lain pada tahun depan.

“Kaedah pengiraan masih sama, tetapi apabila adanya meter pintar pengguna mempunyai pilihan untuk memuat turun bil mereka secara dalam talian sama ada dalam tempoh sebulan sekali atau dua bulan sekali.

“Jadi kita kini bergerak ke arah digital dan menyasarkan tidak perlu lagi mengeluarkan bil air secara fizikal pada masa depan,” katanya ketika ditemui media pada Sambutan Air Sedunia 2024 Peringkat Pulau Pinang di Taman Rekreasi Bukit Dumbar, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

Pathmanathan mengambil maklum keluhan pengguna berhubung sistem bil dwibulanan yang diguna pakai PBAPP ketika ini namun beliau berkata, ia tidak bermaksud pengguna perlu membayar lebih daripada kadar air digunakan.

Beliau menjelaskan, pengebilan dikira dengan tepat berdasarkan kepada jalur penggunaan yang diagihkan secara purata dalam tempoh dua bulan.

Katanya, PBAPP perlu menggajikan lebih ramai pembaca meter yang turut meningkatkan kos jika bacaan bil dibuat setiap bulan.

“Jadi dengan adanya meter pintar nanti kalau pengguna mahu (membayar) bil sebulan sekali pun tiada masalah. Cuma pemasangan meter air pintar memerlukan dana yang besar.

“Ini kerana kos meter biasa sekitar RM67 berbanding meter pintar mencecah RM150. Selain mengenal pasti lokasi bersesuaian dan kita juga perlu mengetahui apa input dan output yang diperoleh daripada tindakan fasa pertama ini,” katanya.

Beliau turut mengulangi gesaan pengguna menjimatkan air sebanyak 10 peratus dengan penggunaan domestik per kapita bagi 1.77 juta orang di Pulau Pinang dijangka membawa kepada penjimatan keseluruhan kira-kira 50 juta liter sehari (JLH).

“Ini akan menyokong bekalan air yang baik dan berterusan kepada semua isi rumah Pulau Pinang, termasuk isi rumah di kawasan tinggi dan kejiranan hujung paip agihan di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Barat Daya (DBD),” katanya.

“Beberapa kawasan kejiranan di SPS dan DBD telah melaporkan isu bekalan air terputus-putus pada tahun ini dan tahun lalu dengan dua punca utama ialah lonjakan 10 peratus dalam penggunaan air negeri selain perubahan iklim,” ujarnya.-BH Online