Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Anak kepada Menteri Besar (MB) Perlis dan bekas Setiausaha Politiknya akan didakwa di mahkamah berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000, esok. 

Sumber berkata, pertuduhan ke atas anak Menteri Besar itu akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Dia (anak Menteri Besar Perlis) akan didakwa di mahkamah pada Khamis (esok). Maklumat lanjut mengenai pertuduhan akan dimaklumkan pihak SPRM nanti,” kata sumber itu.

Mengenai kes membabitkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli pula, sumber memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan SPRM.

Media pada 24 April lalu, melaporkan anak kepada MB Perlis antara enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000. Turut direman ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis. 

Suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022. 

Anak MB Perlis bersama empat lagi kemudian dilepaskan pada 26 April lalu dengan jaminan sebaik tempoh reman tamat. 

Susulan siasatan yang dijalankan, SPRM pada 30 April lalu menahan MB Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa.

Beliau ditahan kira-kira jam 11 pagi semasa hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, sebelum dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 7 malam. 

Sementara itu, berdasarkan surat jemputan liputan media, SPRM memaklumkan mereka sudah mendapat izin mendakwa seorang pemilik syarikat dan seorang bekas setiausaha politik, esok di dua mahkamah berbeza.

Pemilik syarikat itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis manakala bekas setiausaha politik akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.-BH Online