Kerajaan mahu teknologi perladangan sentiasa dipertingkatkan dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perladangan merupakan antara sektor yang besar dalam menyumbang kepada negara.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan agar perladangan memenuhi beberapa aspek yang penting bagi memastikan kelestarian sektor tersebut.
“Antaranya, kita tidak mahu penebangan hutan berlarutan sebaliknya kekal dengan apa yang ada. Namun, kita mahu meningkatkan hasil dan kemudian tingkatkan teknologi serta kurangkan buruh tenaga asing.
“Cuma apabila melibatkan kerja-kerja 3D ( kotor, bahaya dan sukar) sahaja menggunakan mereka (buruh asing),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Anwar bagi melakukan lawatan kerja di tapak operasi Sime Darby Plantation (SDP) Berhad serta melihat teknologi baharu di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SDP di Pulau Carey.
Menurut beliau, pemain industri khususnya perlu mencontohi SDP yang berjaya membangunkan dan mengaplikasi teknologi mesin baharu dalam sektor tersebut.
Johari menjelaskan, ini terbukti apabila mesin-mesin mereka berjaya memperluaskan skop kerja kepada 12.5 hektar kepada seorang pekerja berbanding 8 hektar bagi satu pekerja sebelum ini.
“Sebahagian teknologi telah dipakai dan sebahagian lagi dalam prototaip. Saya ingat kalau SDP boleh capai setiap teknologi mesin dibuat ini, maka saya akan pastikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk aplikasi sebahagian teknologi ini.
“Kemudian kita perkenalkan kepada semua pemain industri kepala sawit ini untuk mereka tengok dan buat benda (teknologi mesin) ini.
“Perdana Menteri menekan betapa pentingnya kalau ada syarikat-syarikat yang memperkenalkan teknologi ini, apabila berjaya, kita hendak pastikan mereka ini dapat jual teknologi ini kepada pemain industri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE