Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mencari penyelesaian segera bagi meningkatkan bilangan jurutera di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia ketika ini dilaporkan kekurangan sekitar 30,000 jurutera.

“Kementerian terutamanya KPT harus memikirkan bagaimana ada satu rencana segera melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bukan itu sahaja, institusi latihan dan fakulti-fakulti sains dan kejuruteraan juga memainkan peranan untuk menambah pelajar dalam bidang ini,” katanya semasa berucap merasmikan Program Malaysia Kecerdasan Buatan (Al) Nexus 2024 hari ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata, penambahan bilangan jurutera itu tidak boleh mengetepikan berkenaan nilai mutu serta kualiti.

“Kalau tekankan hanya bilangan dan industri merasakan standardnya hambar, ia sebenarnya akan menjejaskan pelaburan dalam negara.

“Tapi perancangan (penambahan) ini bagaimanapun tidak boleh dilaksanakan dengan cara pendekatan lama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi gesaan supaya tidak mengheret pemikiran lapuk dan jumud dalam kalangan anak muda.

Katanya, ia termasuk membicarakan hal-hal merugikan masa serta menanam bibit permusuhan dan perpecahan.

Sebaliknya, beliau berkata, perlu menumpukan menyelamatkan bangsa dan negara termasuk dalam menggapai pemikiran baru dan membina ekosistem AI di negara ini. – KOSMO! ONLINE