Sorting by

×

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya isu kemiskinan tegar di Terengganu, yang merekodkan 1,663 keluarga sehingga 2 Mei lalu, dinoktahkan dalam tempoh dua bulan datang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan optimis menyelesaikan masalah miskin tegar di negeri ini.

Katanya, kerjasama di antara Kerajaan Pusat dan negeri perlu dalam usaha membasmi isu kemiskinan, sekali gus menoktahkan miskin tegar di negeri ini.

“Kita bincang dengan Persekutuan dan negeri akan selesai. Insya Allah, dengan jumlah tak sampai dua ribu, takkanlah dengan seluruh agensi kementerian, pelbagai kementerian dengan kerajaan negeri kita tidak boleh tolong 1,000 keluarga supaya selamat daripada kemiskinan yang tegar.

“Maksudnya tak cukup makan, tidak ada pakaian anak-anak, susah untuk beli uniform anak-anak ke sekolah. (Ini boleh dicapai) dengan syarat kerajaan negeri dan Persekutuan bekerjasama sepenuhnya (untuk) kita kenal pasti jumlah 1,600 keluarga dan InshaAllah,di negeri Terengganu, kita boleh noktahkan kemiskinan tegar dalam tempoh dua bulan akan datang, InshaAllah, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada MajlisSambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.-BH Online