Sorting by

×

Proses pindaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses itu termasuk memberikan kuasa kepada pegawai pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mengesahkan ujian dan rawatan dadah.

Katanya, perkara itu menjadi elemen penting dalam akta berkenaan kerana sebelum ini kuasa untuk menentu sahkan ujian dan rawatan hanya diberikan kepada doktor perubatan. 

“Kita sekarang di fasa akhir untuk meminda Akta Penagihan Dadah. Ada lagi sedikit proses memperhalusi, sebab elemen penting akta ini adalah untuk memperkasa Pegawai Pemulihan AADK. 

“Kita hendak turunkan kuasa kepada Pegawai Pemulihan dalam menentu sahkan satu proses, satu tahap ujian. 

“Peranan ini penting, buat masa sekarang tiada undang-undang itu, ia menjadi tanggungjawab doktor perubatan,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Sambutan Aidilfitri Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. 

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Dr Abdul Gapar Abu Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata satu undang-undang akan dibuat untuk memastikan Pegawai Pemulihan AADK perlu melengkapkan modul latihan dan kursus berkaitan yang mematuhi standard antarabangsa. 

“Jika setakat penyalahgunaan bahan, kita nak ‘shortcut’ (jalan pintas) undang-undang yang membenarkan Pegawai Pemulihan buat ujian, jika positif dihantar ke PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik). 

“Yakinlah ini adalah ‘game changer’ (pengubah keadaan) dari segi tanggungjawab AADK untuk membantu mereka yang terlibat penyalahgunaan dadah,” katanya. 

Jelas beliau, jika sebelum ini semua penagih dadah dianggap penjenayah, maka dengan ‘jalan singkat’ ini akan memastikan tidak semua kes berakhir di mahkamah dan penjara. 

“Terdapat 41 penjara yang kini sesak dengan 79,000 penghuni, dan bila kita lihat pemprofailan, kita dapati lebih separuh terkait dengan masalah dadah termasuk penagih. 

“Justeru amat penting situasi membabitkan penagih dadah menjadi tanggungjawab dan di bawah kawal selia pihak AADK,” katanya.-BH Online