Sorting by

×

Malaysia tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu pada pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 yang kini sedang berlangsung di sini. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya mengambil maklum tentang rasa tidak puas hati beberapa pihak tentang penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran berkenaan. 

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Justeru Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

“Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan.

“Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini 

Pameran itu, katanya membolehkan kerajaan dari pelbagai negara dan pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing. 

“Pameran ini tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

“Sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Bosnia Herzegovina dan Pakistan.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura,” katanya. 

Pada Isnin, media melaporkan beberapa pihak menggesa kerajaan melarang penyertaan dua syarikat yang didakwa terbabit dalam membekalkan senjata kepada tentera Israel. 

Ketua Biro Antarabangsa BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, dua syarikat itu membekal senjata dan peralatan kepada Israel yang sedang melakukan genosid ke atas Palestin, terutamanya di Gaza. 

Saifuddin berkata pembabitan dua syarikat itu bercanggah dengan pendirian tegas kerajaan dan rakyat Malaysia yang selama ini menyokong dan bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin. 

Beliau menzahirkan kebimbangan bahawa ia akan menjadi percubaan untuk menormalisasikan hubungan dengan rejim Zionis. 

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur. 

“Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya,” katanya. 

Tegas beliau, dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” katanya. 

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula Isnin hingga Khamis. 

Ia menyaksikan penyertaan lebih 1,324 syarikat dari 60 negara yang mempamerkan teknologi pertahanan dan keselamatan masing-masing.-BH Online