Sorting by

×

Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkasa garis panduan pengurusan salah laku seksual di sekolah bagi mencegah jenayah rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM mengambil serius pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain semalam bahawa kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur khususnya murid sekolah meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Susulan itu, Fadhlina berkata, pihaknya bakal menggiatkan latihan advokasi kepada guru berhubung tatacara pengendalian kes salah laku seksual di peringkat sekolah.

“Misalnya, di peringkat guru sukan, kita memperkenalkan kod sukan selamat bagi memastikan anak murid dapat membuat aktiviti dengan selamat daripada sebarang gangguan seksual.

“Di sekolah, kita tegaskan semula tentang pengurusan antigangguan seksual (merangkumi) proses aduan serta tindakan yang mesti diambil dengan segera sebaik sahaja guru tahu tentang perilaku-perilaku terbabit.

“Kita mahu anak-anak percaya bahawa mereka mempunyai tempat selamat membuat aduan dan seterusnya dilindungi,” katanya selepas merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Datuk Dr Siddiq Fadzil di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM terlebih dahulu mengambil langkah pencegahan dengan bekerjasama bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam program advokasi itu.

“Baru-baru ini KPM juga laksanakan Konvensyen Perlindungan Murid daripada Eksplotasi Seksual.

“Saya fikir ketika ini komitmen daripada pihak ibu bapa yang mesti memastikan keluarga itu selamat dahulu.

“Saya sudah sebut jika berlaku dalam sekolah kita tidak akan kompromi. ‘You touch, you go’ (kamu sentuh, kamu keluar) – itu memang pendekatan dan penegasan yang telah kita berikan sebelum ini,” katanya.-BH Online