Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen.
Menurutnya, kerajaan akan melaksanakan kenaikan gaji itu selepas diluluskan oleh semua Jemaah Menteri.
“Ahli Parlimen mana yang akan bangkang usaha kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam. Saya tiada masalah untuk melaksanakannya. Sarawak dan Kelantan menyambut baik usaha ini.
“Justeru, saya yakin cadangan kenaikan gaji penjawat awam dapat sokongan semua Ahli Parlimen,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, kenaikan gaji lebih 13 peratus itu merupakan peningkatan tertinggi dalam sejarah negara.
“Ada yang kata tidak benar (kenaikan tertinggi). Sepatutnya tanya saya dahulu. Dahulu pernah diberi (kenaikan gaji) sebanyak 35 peratus.
“Dengan skim ini, penjawat awam bergred tinggi naik sedikit manakala yang bawah naik 20 hingga 38 peratus. Dengar dahulu (penjelasan),” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Anwar mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan.
Katanya, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar tersebut akan lebih tinggi daripada itu.
Tambah Anwar, pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun ditetapkan pada RM2,000 melibatkan implikasi kewangan sejumlah RM10 bilion. – KOSMO! ONLINE