Sorting by

×

Pengumuman berita gembira oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan melebihi 13 peratus mulai 1 Disember depan membuktikan kebajikan penjawat awam sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata walaupun hutang kerajaan ketika ini mencecah RM1.5 trilion, ia tidak menghalang kerajaan untuk mengumumkan kenaikan itu kerana ia membabitkan kepentingan penjawat awam.

“Gaji penjawat awam sudah 12 tahun tidak naik, yang selalu diumumkan itu hanya dalam bentuk hadiah dan bonus tahunan dan sebagainya dan bukannya kenaikan gaji.

“Walaupun dengan kenaikan gaji ini akan membabitkan perbelanjaan kerajaan lebih RM10 bilion, untuk kepentingan penjawat awam, kerajaan tetap menunaikan janji.

“Kerajaan Perpaduan bekerja kuat untuk menarik pelabur asing seperti dari China, Jerman dan negara-negara Timur Tengah, jadi kita yakin dengan pendapatan kerajaan dan mampu mengatasi atau memenuhi keperluan ini (kenaikan gaji penjawat awam),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menutup Program Pemukiman Pemuda AMANAH Nasional di Nilai Springs Golf & Resort di sini, petang tadi.

Yang turut hadir Ketua Pemuda AMANAH, Senator Mohd Hasbie Muda serta Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH pusat dan ketua-ketua pemuda AMANAH negeri.

Sempena sambutan Hari Pekerja hari ini, Anwar mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang menjadi kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.-BH Online