Sorting by

×

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff yang mengalami komplikasi di bahagian perut, dilapor terpaksa ditidurkan.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim memaklumkan Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

“Kami masih belum mengetahui perkembangan lanjut keadaan beliau kerana hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat.

“Isteri beliau maklum suaminya (Nor Zamri) dimasukkan ke hospital tersebut dua hari lalu kerana sakit di bahagian perut dan kini ditidurkan selepas doktor mendapatkan kebenaran ahli keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, Nor Zamri atau lebih dikenali sebagai YB Abang Zam mengalami komplikasi perut dan kini berada dalam keadaan kritikal sehingga terpaksa ditidurkan.

Nor Zamri atau lebih dikenali YB Abang Zam aktif mengemaskini aktiviti seharian selaku wakil rakyat di media sosial, namun perkongsian terakhir dibuat adalah empat hari lalu iaitu jemputan menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Sungai Bakap.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menang ke atas calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi.-BH Online