Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) akan meneliti keperluan untuk penggubalan undang-undang berkaitan pelepasan, dalam pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling Fasa 2.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata walaupun Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 membabitkan pindaan Fasa 1 sudah diluluskan oleh Parlimen pada 4 April lalu, NRES komited ke arah penambahbaikan berterusan.

“NRES mengalu-alukan cadangan untuk mengukuhkan perundangan dan peraturan berkaitan alam sekitar, khususnya dalam pindaan Fasa 2 akan datang.

“Dengan iltizam ini, kita terbuka untuk mempertimbangkan cadangan Majlis Peguam mengenai keperluan dan keberkesanan undang-undang berkaitan pelepasan dalam mencapai matlamat alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

null

Isnin lalu, BH melaporkan Badan Peguam Malaysia mencadangkan supaya undang-undang rasmi berkaitan emisi diwujudkan dalam usaha meningkat dan menguatkuasakan keperluan pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Yang Dipertuanya, Mohamad Ezri Abdul Wahab dipetik menjelaskan undang-undang itu sekiranya diwujudkan, akan memberi rangka kerja yang boleh dikuatkuasakan untuk mengurangkan emisi, menambah baik amalan mampan dan meningkatkan tadbir urus korporat.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, NRES mengaku perlindungan alam sekitar yang berkesan memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak industri dan orang awam.

“Kami mengalu-alukan perbincangan dan maklum balas bagi mengukuhkan peraturan sedia ada demi memastikan udara lebih bersih dan persekitaran lebih sihat untuk semua rakyat negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) sedia ada merupakan asas dalam pengurusan pelepasan industri dan kenderaan bermotor di Malaysia.

Katanya, akta itu disokong oleh peraturan seperti Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan dari Enjin Petrol) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan dari Enjin Diesel) 1996, dan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Motosikal) Peraturan 2003.

“Peraturan-peraturan itu menetapkan had nilai batas bagi bahan pencemar yang dilepaskan oleh premis industri dan kenderaan bermotor.

“Selain itu, premis industri juga diwajibkan memasang Sistem Pemantauan Pelepasan Berterusan (CEMS) yang turut menggalakkan kawalan kendiri dalam kalangan pemain industri,” katanya.

Nik Nazmi berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengkaji semula PUB 2014 secara aktif sejak 2021, selepas menyedari kekangan peraturan sedia ada.

“Proses ini meliputi semakan semula nilai batas pelepasan sedia ada dan penambahan elemen baharu seperti kompaun serta caj alam sekitar,” katanya.-BH Online