Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kemajuan pembinaan jajaran Seksyen 7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) iaitu persimpangan Tanjong Karang-Assam Jawa di sini, sudah mencapai 91 dan 44 peratus untuk kedua-dua bahagian, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) yang dijangka siap pada Mac 2026 itu bermula dari persimpangan bertingkat Assam Jawa Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sehingga persimpangan bertingkat Tanjong Karang iaitu Jalan Persekutuan 5.

“Jajaran ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian Satu (Seksyen 7A) bermula dari Persimpangan Assam Jawa sehingga ke Ladang Sungai Terap sepanjang 19.5 km.

“Bagi Bahagian Dua (Seksyen 7B) dari Ladang Sungai Terap ke persimpangan bertingkat Tanjong Karang dengan jarak sepanjang 10 km.

“Sehingga 25 April lalu, kemajuan kerja bagi Seksyen 7A mencapai 91 peratus, manakala Seksyen 7B yang terbabit dengan penetapan jajaran adalah sebanyak 44 peratus,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di sini, hari ini.

Nanta Linggi berkata, pihaknya berharap kemudahan itu akan melancarkan perjalanan pengguna jalan raya yang sebelum ini terpaksa menempuh kesesakan, terutama hujung minggu dan musim perayaan.

“Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan Madani dalam membina infrastruktur yang selesa dan selamat demi kesejahteraan komuniti setempat.

“Pada masa sama, ia dijangka akan meredakan keresahan rakyat akibat kesesakan lalu lintas di kawasan Tanjong Karang dan Kuala Selangor,” katanya.-BH Online