Sorting by

×

Sehingga kini sentimen sokongan pengundi terutamanya masyarakat Cina dan penyokong Barisan Nasional (BN) masih lagi ke arah calon Kerajaan Perpaduan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, berkata sambutan yang diterima oleh calon Kerajaan Perpaduan dari DAP, Pang Sock Tao sepanjang lawatan beberapa hari ini daripada pengundi dan masyarakat tempatan agak baik.

“Mereka mengalu-alukan kehadiran calon kita (Sock Tao), beramah mesra dan saya lihat bahawa sambutan yang diterima setakat ni amat positif,” katanya selepas mengiringi Sock Tao melakukan walkabout di pekan Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Loke menegaskan DAP tidak akan memaksa mana-mana individu atau parti untuk membantu jentera Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu dan perkara itu tidak menjejaskan perjalanan kempen Kerajaan Perpaduan.

“Saya dah kata kita tidak paksa mana-mana pihak kalau tidak mahu membantu. Jadi, itu tiada masalah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan MCA tidak akan membantu kempen Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu, dikatakan berpunca akibat kecewa selepas dipersenda, dimaki hamun dan diperkecilkan parti komponen PH.-BH Online