Sorting by

×

Tindakan menahan dua individu yang dikatakan menceroboh tanah milik kerajaan Pahang dalam Ops Sekat di Sungai Ruan, Raub, semalam, tidak dilakukan sewenang-sewenangnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sebaliknya, penguatkuasaan itu dilaksanakan berdasarkan bukti dan alasan kukuh sebelum penahanan dilakukan.

“Saya yakin apabila ada tangkapan dilakukan, sudah pasti ada kesalahan dan penguat kuasa ada bukti untuk menahan dua individu terbabit.

“Penguat kuasa tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa ada bukti dan alasan yang kukuh apabila menceroboh tanah milik kerajaan negeri,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan dua individu kerana menceroboh kawasan hutan yang menanam durian musang king di Raub, semalam.

Wan Rosdi ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pahang (Teratai) Ke-42 dan Jamuan Aidilfitri di sini hari ini.

Berdasarkan laporan, dua individu terbabit ditahan kerana disyaki mengusahakan kebun durian musang king secara haram ketika operasi dijalankan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Benom.

Ops Sekat membabitkan beberapa agensi iaitu Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pasukan Gerakan Am (PGA).-BH Online