Sorting by

×

Kerajaan Perak dijangka menjalinkan kerjasama dengan syarikat terkemuka Korea Selatan, Star Group Industries (SGI) yang berpengalaman dalam penghasilan produk hiliran unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata syarikat itu dijangka berkunjung ke Perak pada bulan depan di mana butiran lanjut mengenai kerjasama berkenaan akan dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pihak terbabit.

“SGI yang diketuai oleh Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kong Kun Seong, menunjukkan minat untuk bekerjasama, malah menyatakan hasrat berkunjung ke Perak pada bulan depan untuk perbincangan lanjut.

“Ini adalah satu perkembangan positif dan susulan daripada lawatan kerja kerajaan negeri ke sana… kita turut dibawa melawat kilang SGI di Daegu yang menghasilkan produk hiliran REE,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau.

Saarani mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan kerja ke Korea Selatan dan Jepun dari 20 hingga 27 April 2024 bagi menarik pelaburan dari kedua-dua negara, terutama dalam industri mineral, kenderaan elektrik (EV), pengurusan sisa pepejal serta tenaga hijau.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu sebagai berpotensi melengkapkan rantaian bekalan industri automotif, khususnya dalam melaksanakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim, tanpa perlu bergantung pada bahan mentah import.

“Antara komponen terpenting dalam industri automotif ialah magnet kekal yang menghasilkan motor aruhan magnet, magnet penghidup penjana hibrid, brek elektrik bersepadu, stering berkuasa elektrik serta pelbagai komponen berteknologi tinggi lain,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama kedua-dua pihak akan dapat memberi manfaat besar kepada Perak, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan.

“Bayangkan, berapa banyak peluang pekerjaan dapat kita cipta melalui industri baharu ini. Sudah pasti ini memberi limpahan manfaat untuk rakyat Perak, khususnya anak-anak muda,” katanya.-BH Online