Sorting by

×

Pengurusan dan tatakelola yang baik membolehkan syarikat untuk memberikan manfaat kepada pekerja apabila mampu menawarkan gaji lebih lumayan dan setimpal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata prinsip ketelusan boleh mengelakkan pembaziran, seterusnya memberi habuan dan pulangan upah lebih baik kepada pekerja.

“Kesediaan kita bekerja sebagai satu pasukan dengan prinsip ketelusan mampu mengelak pembaziran. Kita boleh selamatkan negara dan beri habuan dan pulangan upah kepada pekerja.

“Jangan kita remehkan soal ini kerana ada keluarga yang berhak diberi perhatian dan pertimbangan.

“Kerana keputusan kita cermat, berhemah, urus dengan baik dan telus, ia akan menjamin masa depan lebih baik kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kampus dan Upacara Pecah Tanah Simulasi Penerbangan Akademi Malaysia Airlines Bhd (MAB) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengerusi Malaysia Aviation Group (MAG), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau juga berharap supaya MAG, Khazanah Nasional dan Kementerian Pengangkutan terus menjalinkan kerjasama dengan bekerja sebagai satu pasukan yang telus.

“Sekarang ini, ada beberapa kalangan termasuk pembangkang mempertikai peranan dan pendirian kita untuk mengekalkan tatakelola serta ketelusan selain mengapa kita memerangi rasuah dan pastikan kaedah betul.

“Tetapi, akibatnya (tiada tatakelola) ialah negara terbelit hutang besar, MAS (Malaysia Airlines) robek selain pegawai termasuk dari juruterbang hingga juruteknik, semua terkesan kerana tiada pendapatan.

“Ia ialah kesan daripada tindakan tamak oleh sesuatu kumpulan yang memberi kerosakan kepada negara, syarikat dan kakitangan,” katanya.

Susulan itu, katanya, pentadbiran kerajaan MADANI mewajibkan perkara itu diperbetulkan, seterusnya memberikan manfaat setimpal kepada pekerja yang sentiasa memberikan perkhidmatan cemerlang.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu MAG menerapkan soal nilai, kemanusian, ehsan dan rahmah dalam pengurusan mereka selain soal transformasi digital, transisi tenaga dan pelan infrastrukur baik.-BH Online