Sorting by

×

Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei tahun depan dengan membawa tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata LIMA edisi ke-17 anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) itu mendapat sambutan awal yang menggalakkan daripada pemain-pemain industri pertahanan, terutama syarikat dari dalam dan luar negara.

“LIMA ’25 akan turut mengetengahkan beberapa segmen baharu seperti pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pameran ini, serta penambahan ruang pameran dan teknologi hijau.

“Ia berbanding penganjuran LIMA sebelum ini yang sering mengetengahkan kepentingan pemain-pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran LIMA ’25 di Wisma Perwira, Jalan Semarak, di sini, hari ini.

Adly berkata, LIMA adalah acara yang dinanti-nantikan oleh pemain-pemain tempatan dan antarabangsa dalam industri aeroangkasa serta maritim.

“Bagi memastikan kejayaan penganjuran LIMA ’25, penganjur bersama iaitu GEC, telah menjalinkan kolaborasi strategik dengan Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd, SHP Media Sdn Bhd, Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT).

“Kami juga menggalakkan institusi pengajian tinggi (IPT) kerajaan dan swasta yang memiliki kepakaran aeroangkasa serta maritim, untuk menyertai pameran LIMA ’25,” katanya.

Beliau berkata, ia selaras hasrat serta inisiatif MINDEF untuk menjadikan pameran LIMA ’25 sebagai pusat perkembangan industri dan pembangunan sumber manusia.-BH Online