Sorting by

×

Dua kerangka gerak kerja dilancarkan PKR hari ini, akan dijadikan asas bagi menentukan hala tuju, kesinambungan dan pemerkasaan parti itu secara keseluruhan.

Dua kerangka gerak kerja itu, Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan Kerangka Kerja Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16) juga akan digunakan sebagai asas bagi proses pemilihan calon mewakili PKR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, pemetaan tugas pemimpin di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR juga akan berpandukan dokumen sama, selain setiap ahli bertanggungjawab memastikan setiap ukuran kejayaan ditetapkan dapat dicapai.

“Saya akan duduk bersama semua MPP untuk memetakan tugas masing-masing selepas konvensyen ini, selain semua bertanggungjawab bagi ukuran kejayaan dalam POP25 dan KEMAS16.

“Biro Latihan misalnya, tugas pertama mereka ialah untuk MPP meluluskan modul dan selepas ia dimuktamadkan, tumpuan akan diberi kepada Training of Trainers (ToT), seterusnya ia akan diturunkan secara tersusun ke peringkat Cabang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan berkata demikian pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Mengenai proses pemilihan calon PRU, Rafizi berkata, KEMAS16 dan POP26 berupaya menjadi alat pengukur objektif dan jelas, melangkaui parameter dikatakan subjektif yang digunakan ketika ini.

“Kita mahu memastikan prestasi dan matriks prestasi setiap cabang seragam di seluruh negara. Jika tidak, (akan ada) kesukaran di peringkat Pusat (kerana) masing-masing mahu menjadi calon, baik daripada cabang (atau sebagainya).

“Cabang pun kadang-kadang ada kumpulan berlainan, jadi ia begitu subjektif kerana masing-masing rasa merekalah paling hebat. Sebaliknya, KEMAS16 dan POP25 sangat objektif dan jelas, bukannya emosi selain akan membantu proses pemilihan calon supaya parti dapat yang terbaik dan berkesan berpandukan data serta fakta jelas,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi mengakui mengenai cabaran mungkin dihadapi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah dan Sarawak susulan faktor geografi dan sebagainya.

“Templat (POP25 dan KEMAS16) dibangunkan untuk seluruh negara tetapi akan disesuaikan dengan faktor tertentu seperti kerajaan negeri dan wakil rakyat, Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PKR perlu beralih kepada kaedah pengurusan lebih tersusun, selain mencadangkan jawatan pengurus profesional parti diwujudkan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, reformasi itu perlu dibuat memandangkan proses kawal selia parti ketika ini, masih perlu bergantung kepada struktur parti di peringkat MPP, MPN dan cabang.

Katanya, jawatan pengurus profesional itu tidak boleh diisi mana-mana pemimpin MPP, sebaliknya perlu dilantik dalam kalangan individu di ibu pejabat parti berkenaan.

“Semua urusan mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh parti adalah tanggungjawab ibu pejabat parti yang tidak memegang sebarang jawatan eksekutif.

“Malah, jawatankuasa pemilihan calon juga diisi bukan dalam kalangan kepemimpinan parti selain tidak boleh memperolehi sebarang kontrak kerajaan. Idealnya kita perlu sampai ke tahap itu, tetapi kalau boleh dapat dalam konteks hibrid pun sudah okey.

“Ada kelebihan kepada kita yang perlu diterajui lagi, mengenai kepentingan organisasi parti dipelopori dengan kaedah berbeza dengan era permulaan parti diasaskan,” kata Menteri Dalam Negeri itu.-BH Online