Sorting by

×

Kerajaan MADANI akan menoktahkan kesengsaraan rakyat terutama di Sabah, khususnya dari segi kemiskinan sosioekonomi, melalui penambahbaikan dan kewujudan baharu membabitkan infrastruktur kegunaan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, antara rancangan jangka pendek dan panjang bagi tujuan itu ialah memilih kontraktor bersesuaian untuk membina klinik, hospital, jalan raya, menangani masalah air, hasil tani, keperluan usahawan desa serta penjaja yang memerlukan intervensi.

“Kerajaan MADANI tegas untuk membantu rakyat, hatta apabila berada di Negeri Di Bawah Bayu ini, saya singgung (sentuh) keperluan laporan terkini berkaitan 25 projek sakit yang memerlukan kerjasama dan perhatian pihak terkait sewajarnya,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.

Anwar yang tiba di Kota Kinabalu pada jam 11.40 malam tadi, memulakan lawatan kerja pagi ini dengan menghadiri taklimat pembangunan Sabah di Menara Kinabalu dengan diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dan ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam serta Datuk Shahelmey Yahya.

Pada taklimat itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau telah meneliti beberapa permintaan, keluhan, aduan serta rintihan meliputi keperluan dan keutamaan rakyat yang mendesak.

Beliau kemudian menghadiri perjumpaan khas bersama Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah dan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah. – BERNAMA