Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dikhuatiri disambar buaya di Sungai Rayu, Matang, di sini, hari ini.
Beliau tiba di jeti Kampung Sungai Rayu pada jam 9.30 pagi dan diberi taklimat berhubung SAR itu oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Latiff Iring.
Selepas taklimat itu, beliau menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyusuri sungai berkenaan untuk melihat sendiri operasi pencarian mangsa, Minu Kin, 79.
Mangsa dikhuatiri disambar buaya ketika keluar mencari lokan di Sungai Rayu, Rabu lalu.
Wanita warga emas itu dikatakan keluar dari rumah dan menuju ke sungai itu pada jam 8 pagi bersama anak saudaranya.
Kehilangan mangsa disedari anak saudaranya yang terlihat kesan tapak kaki serta tompokan darah di tebing sungai itu.
Nancy berkata, beliau yakin mangsa amat arif dengan keadaan sungai berkenaan kerana sudah lama mencari lokan.
Bagaimanapun katanya, mungkin pada hari kejadian mangsa bertembung dengan buaya yang dikenal pasti banyak menghuni sungai itu.
Justeru beliau mengingatkan penduduk untuk lebih berhati-hati ketika mencari rezeki di sungai berkenaan bagi mengelak konflik dengan reptilia ganas itu.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, operasi hari ini yang turut disertai unit K9 masih gagal mengesan mangsa.
“Pencarian diperluaskan pada jarak tiga kilometer ke hilir dan hulu sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat Rabu lalu,” katanya.-BH Online