Sorting by

×

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam fasa akhir membangunkan Pelan Industri Sukan yang menggariskan strategi dan inisiatif memberi manfaat kepada sektor industri sukan, sekali gus memberi pulangan semula kepada ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata perkara itu, dimaklumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang dipengerusikannya, hari ini.

Kerajaan, katanya akan memberi penekanan utama kepada pertumbuhan sukan sebagai sebuah industri bernilai tinggi.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan kerjasama strategik antara Agensi Anti-doping Malaysia (ADAMAS), KBS dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi Dan Kementerian Kesihatan dalam Pendidikan Anti-doping,” katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat tersebut.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama strategik itu akan dilaksanakan kepada atlet di Institusi Pengajian Tinggi, atlet yang bertanding di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dan Para Sukma Sarawak 2024 serta pelaksanaan pendidikan ‘Kenali Ubat Anda’.

Beliau turut memaklumkan, mesyuarat JKPS merupakan satu platform yang diharap dapat menyelesaikan segala isu berkaitan sukan secara berkesan.-Berita RTM