Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersedia untuk mengembangkan penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke negara luar buat kali pertama pada tahun ini dengan memilih ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai sebagai destinasi pertama.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata selain Dubai, MATRADE juga mempunyai perancangan untuk MIHAS diadakan di China dan Eropah pada tahun-tahun akan datang.

Katanya, selepas 20 tahun MIHAS dianjurkan di dalam negara, sudah tiba masanya untuk penganjuran pameran itu dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

“Kami sedang memikirkan pelan pengembangan kami di luar Dubai. Tumpuan kami adalah untuk meneroka peluang untuk memperkenalkan MIHAS kepada pasaran penting seperti China dan Eropah.

“Ini sejajar dengan visi kami yang lebih luas untuk memupuk perkongsian antarabangsa dan mempromosikan produk Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.

“Dengan berkembang ke wilayah ini, kami berusaha untuk mencipta peluang baharu untuk perdagangan dan kerjasama, melonjakkan MIHAS ke tahap pencapaian yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya pada majlis prapelancaran MIHAS 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob.

MIHAS 2024 dianjurkan oleh MATRADE akan berlangsung dari 17 hingga 20 September 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, pameran tahun ini dijangka akan menarik lebih 40,000 pengunjung perdagangan dan menampilkan 2,000 gerai pameran dari 45 negara, termasuk Malaysia.

Katanya, edisi MIHAS ke-20 ini unik kerana menyaksikan pengenalan 14 kluster baharu termasuk kluster kelestarian dan kandungan bahan halal.

“Pengantarabangsaan MIHAS adalah satu inisiatif untuk membawa jenama ini kepada tahap yang lebih tinggi serta menarik pelbagai peserta dan pembeli terutamanya dari pasaran Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika.

“Inisiatif pertama ini yang dinamakan Mihas @Dubai akan bermula dengan acara ini akan diadakan di Ekspo Produk Organik dan Semula Jadi Timur Tengah pada November ini.

“Dubai dipilih kerana mempunyai kelebihan termasuk lapangan terbangnya adalah antara yang paling banyak terhubung dengan negara lain. Boleh bayangkan ia dihubungkan terus dengan 13 hingga 14 lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) dan ini menjadi kekuatannya,” katanya.-BH Online