Sorting by

×

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim diberi tanggungjawab bersama menjadi pengerusi penyelarasan gerak kerja jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu mewakili semua parti Kerajaaan Perpaduan. 

Ketetapan itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. 

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata melalui mesyuarat itu, semua pihak juga bersetuju untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi bagi menamakan calon yang akan mewakili parti Kerajaan Perpaduan. 

“Mesyuarat membincangkan persiapan bagi menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu. 

“Penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, parti Kerajaan Perpaduan akan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Zambry dan YB (Yang Berhormat) Steven Sim,” katanya melalui kenyataan, hari ini. 

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon. 

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat turut membuat empat ketetapan lain termasuk memandang serius tindakan sesetengah pihak memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan yang mampu mengancam keharmonian negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, mesyuarat sepakat supaya kerajaan bertindak tegas menurut lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Semua parti Kerajaan Perpaduan bersepakat akan terus mempertahan orientasi dan pendekatan ‘Politik Kesederhanaan’ sebagai asas kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum.

“Dengan pendekatan kesederhanaan bagi menjamin kestabilan, Kerajaan Perpaduan akan dapat memberikan tumpuan terhadap dasar yang boleh mensejahterakan rakyat terutama bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara,” katanya.-BH Online