Sorting by

×

Selepas solar, biogas, gas dan empangan, Sarawak kini berusaha untuk memanfaatkan ombak pula bagi menjana tenaga hijau.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata ujian percubaan untuk menjadikan ombak sebagai penjana tenaga elektrik akan dilaksanakan di Bintulu.

Katanya, Sarawak mempunyai banyak sumber asli dan pihaknya mahu mencuba semuanya untuk menjana tenaga elektrik yang bersih sekali gus mewujudkan ekonomi baharu di negeri ini.

“Kita sudah ada jeti di Samalaju yang boleh kita letakkan penjana kuasa tenaga elektrik di laut.

“Saya mahu mencuba sesuatu yang baru dan jika percubaan itu berjaya mencapai matlamatnya, Bintulu boleh menjadi antara yang pertama di dunia menjana elektrik menggunakan tenaga kinetik daripada ombak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Naim Street Mall Bintulu Paragon, Bintulu, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan penjanaan kuasa di Bintulu akan ditingkatkan kepada 1,000 megawatt melalui kitaran turbin gas di bawah fasa 1 dengan penambahan 500 megawatt di bawah fasa 2 yang akan beroperasi pada 2028.

Abang Johari berkata usaha membangunkan pelbagai sumber asli itu akan membawa pertumbuhan pesat di Sarawak khususnya dalam infrastruktur tenaga elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kawasan Bintulu khususnya bakal bertambah sibuk dalam tempoh lima tahun lagi apabila kawasan Samalaju diperluaskan bagi memudahkan pelaburan yang akan datang manakala infrastruktur di kawasan itu juga akan dipertingkatkan, ” katanya.-BH Online