Masyarakat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.
Perkara itu diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi, selepas aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 10 April 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pengumuman rasmi disiarkan di saluran televisyen tempatan, sebentar tadi.
Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh hari raya puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Cerapan anak bulan dikendalikan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan mufti negeri dan ahlinya, merangkumi pakar falak, alim ulama, pegawai falak berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).-BH Online