Kementerian Komunikasi menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap usahawan, Datuk Aliff Syukri yang memuat naik video lagu hari raya kontroversi, baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, beliau tidak pasti apa bentuk tindakan selanjutnya yang akan diambil suruhanjaya tersebut.
“Saya difahamkan ketika ini usahawan itu disiasat bagi kesalahan salah guna fasiliti internet. Ia terpulang kepada MCMC kerana mereka boleh guna pakai Akta Komunikasi Multimedia untuk siasatan lanjut,” katanya selepas menghadiri Program Projek Baju Raya Terpakai dan Sumbangan Bantuan Raya di Blok 3 Flat Taman Putri, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, telefon bimbit dan kad sim milik usahawan, Datuk Aliff Syukri disita MCMC dan dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE