Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan dengan segelintir golongan terpelajar menggunakan agama, kedudukan dan populariti demi agenda peribadi mereka.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda sentiasa mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri ini dijauhi daripada sifat yang tidak baik dan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan mencaci.

Baginda juga tidak mahu sikap-sikap buruk sedemikian terus berleluasa khususnya di media sosial.

“Apa yang membimbangkan Beta, sikap-sikap buruk yang dilarang oleh agama Islam ini mula menular dalam kalangan segelintir golongan terpelajar.

“Beta dapati akhir-akhir ini ramai yang mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuan dan cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah-hujah mengenai isu-isu agama, namun sebaliknya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi bak kata pepatah Melayu ‘ada udang di sebalik batu’ dalam setiap tindakan yang dibuat. 

“Mereka menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat dan sanggup melihat umat Islam di negara ini berpecah belah,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menyampaikan titah ucapan berkenaan pada Majlis Perasmian Masjid Damansara Perdana, di sini hari ini.

Justeru, baginda menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Ketika titah ucapan itu juga, baginda menegaskan negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah, tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang diharapkan. 

“Oleh itu Beta menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik agar memainkan peranan mereka bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama ini dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan rakyat. 

“Pemimpin-pemimpin politik hendaklah memikirkan pendekatan terbaik untuk menyatupadukan rakyat seperti mengambil pendekatan menggunakan platform media sosial bagi membentuk rasa hormat-menghormati dan persefahaman antara satu sama lain demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita,” titahnya.

Pada masa sama, baginda menzahirkan rasa bangga dan terharu melihat sendiri perpaduan, kerjasama dan sifat tolong-menolong antara satu sama lain yang dipamerkan oleh orang-orang Melayu Islam di Selangor khususnya pada bulan yang mulia ini. 

“Beta berharap orang Melayu akan terus mengambil jalan perpaduan dan memperkukuh keharmonian demi menunjukkan kekuatan bangsa dan ummah.

“Sekiranya negeri Selangor yang terdiri daripada rakyat yang berbilang bangsa dan agama ini ingin lebih maju dan progresif, perpaduan dan kerjasama yang terjalin dalam kalangan rakyat sekarang hendaklah dipertahankan,” katanya.-BH Online