Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan terus memperbaiki kedudukan ‘output’ membabitkan pengurusan organisasi mahasiswa yang tertakluk bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata komitmen itu bagi memastikan mahasiswa dapat bergerak dengan lebih baik dalam aktiviti yang disertai di universiti negara ini.

“Lebih utama, rang undang-undang (RUU) yang diluluskan hari ini akan dapat membentuk daya kepimpinan mahasiswa di setiap universiti.

“Pembentukan kepimpinan inilah antara matlamat kita bawah Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Pendidikan Tinggi bersama keluarga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pindaan terhadap AUKU 1971 yang diluluskan Dewan Negara, hari ini.

Pindaan itu antara lain membabitkan Seksyen 16B dan Seksyen 15A, iaitu pengendalian kes tatatertib di universiti serta tindakan memungut dan menerima wang sumbangan oleh Majlis Perwakilan Pelajar.

Terdahulu, Zambry menyerahkan sembilan bas baharu UTeM yang diperoleh melalui konsep sewa pandu, bagi menggantikan penggunaan kenderaan sedia ada yang berusia lebih 20 tahun.

Selain itu, beliau juga menyampaikan sumbangan zakat dan duit raya kepada 12 pelajar tahfiz dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta 88 pelajar daripada keluarga B40.

Pada majlis itu, surat tawaran biasiswa kepada pelajar UTeM menerusi Program SULUNG berjumlah RM1,217,852 turut diserahkan kepada 133 pelajar sarjana muda, dan Program Anak Emas dengan nilai RM99,700 untuk empat pelajar sarjana muda dan dua pelajar diploma.

UTeM turut menaja Biasiswa Kesidang berjumlah RM500,000 yang memberi manfaat kepada 163 penerima dalam kalangan pelajar ijazah tinggi dan 82 penerima pascasiswazah.

Sumbangan zakat sebanyak RM1,767,325 juga diserahkan kepada 70 pelajar sarjana muda dan 30 pelajar diploma, selain sembilan komputer riba kepada pelajar terpilih. – BERNAMA