Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan lebih 50,000 pekhidmat rumah ibadat Islam akan mencarum bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hingga akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata caruman itu membabitkan golongan bilal, imam, marbut, noja, siak, ustaz, ustazah dan guru takmir.

“Pencaruman tahun lalu membabitkan 38,828 orang. Tahun ini hingga 29 Mac lalu pula, jumlah pencarum daripada rumah ibadat Islam adalah 19,306.

“Dari segi kedudukan kewangan, ia membabitkan sebanyak RM9.039 juta tahun lalu manakala tahun ini (setakat 29 Mac), sudah RM4.494 juta.

“Kita sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menggalakkan pencaruman demi masa depan mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Iftar KESUMA PERKESO, di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Pada majlis itu, 13 individu menerima faedah PERKESO, meliputi empat penerima Faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), lima penerima Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), dua penerima Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dan dua penerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Jumlah keseluruhan bayaran faedah terbabit ialah RM286,916.48.

Selain itu, 40 ibu tunggal dan 92 kanak-kanak termasuk anak yatim, menerima sumbangan berbentuk hamper dan duit raya sebagai persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Sementara itu penerima Faedah HUK, Siti Zubaidah Mohammed, 52, bersyukur menerima faedah sebanyak RM80,959.20.

“Saya mengalami kecacatan pada saraf tulang belakang di bahagian ‘thoracic’ menyebabkan saya kehilangan fungsi motorik pada kaki dan pinggul. Ia telah disahkan oleh doktor pada 21 Disember lalu,” katanya.

Dengan bantuan PERKESO, katanya, beliau kini boleh bertugas semula sebagai Ketua Sokongan Operasi di sebuah syarikat akauntan bertauliah.-BH Online