Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Bandar Saujana Putra di Kuala Langat, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ketibaan baginda bertiga disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim.

Hadir sama Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Borhan Aman Shah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Dalam majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 429 penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir dan miskin serta mualaf dari daerah Kuala Langat, berjumlah RM500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM214,500.

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan menerima zakat perniagaan bagi 2023 daripada Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM1,192,000, MAHSA University (RM1,320,000) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (RM1,146,500).

Baginda juga berkenan melafazkan titah perasmian Masjid Bandar Saujana Putra sebelum menandatangani plak perasmian untuk menyempurnakan acara berkenaan.

Pembinaan masjid itu bertujuan memenuhi keperluan penduduk Islam setempat atas faktor lokasi masjid sedia ada bagi kegunaan semasa agak jauh serta menampung jumlah jemaah yang ramai.

Masjid Bandar Saujana Putra di atas tanah seluas 1.21 hektar siap dibina pada Jun 2023 dengan kos keseluruhan RM10.9 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan MAHSA, dan mampu memuatkan hingga 4,500 jemaah dalam satu-satu masa.– BERNAMA