Sorting by

×

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu rasuah diperangi sebagai musuh nombor satu negara, dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab serta integriti.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata ia selaras dengan peranan SPRM sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini.

Beliau berkata, SPRM sekali gus berharap semua rakyat Malaysia, khususnya keseluruhan jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu menjunjung dan melaksanakan titah baginda itu.

“Sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Yang di-Pertuan Agong itu dilaksanakan sepenuhnya, dan menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan penuh integriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim menitahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM menumpukan usaha memerangi rasuah secara habis-habisan di negara ini.

Seri Paduka turut sekali lagi menegaskan memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara, adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.

Dalam pada itu, Azam berkata, titah Yang di-Pertuan Agong itu melambangkan ketegasan baginda memerangi ancaman rasuah.

“SPRM menjunjung kasih Seri Paduka yang menitahkan bahawa memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara, adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.

“Titah Seri Paduka melambangkan ketegasan baginda memerangi ancaman rasuah, malah perlu dijunjung oleh setiap lapisan masyarakat kerana rakyat bebas rasuah adalah kayu pengukur dan teras kepada keutuhan serta kestabilan negara,” katanya.-BH Online