Sorting by

×

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui minat pelajar negara ini dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) semakin merosot dan dilihat amat membimbangkan.

Justeru, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil beberapa langkah termasuk dengan beberapa kumpulan pendidikan lain bagi menggesa ibu bapa memberikan tumpuan semula kepada Sains dan Matematik.

“Ini sedang diusahakan secara lebih serius. Dalam semua perjumpaan kita dengan syarikat asing, kita tekankan soal yang sama, iaitu mesti ada pusat kecemerlangan di Malaysia, mesti ada latihan di sini.

“Ini disebabkan, kita sekarang ini kekurangan jurutera. Walaupun jurutera yang kita lahirkan baik dan diterima baik, dia masih dianggap ada kekurangan di peringkat kemahiran atau ketrampilan tertinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai strategi kerajaan bagi melahirkan lebih ramai saintis dan jurutera, sekali gus memenuhi keperluan syarikat pelaburan ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklum balas syarikat antarabangsa, mereka memaklumkan Malaysia mempunyai tenaga kejuruteraan dan lulusan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berdisiplin dan baik, namun tidak memenuhi keperluan tinggi yang diperlukan.

“Saya setuju jika Malaysia tidak lakukan apa-apa yang segera dan mendesak, kita akan kerugian kerana tumpuan ketika ini bukan lagi industri “low end” tapi “high end” yang memerlukan kecekapan lebih tinggi daripada yang ada sekarang.

“Sebab itu, saya minta universiti, bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mengadakan fakulti kecerdasan buatan (AI) dan ia harus selari dengan kegiatan semua universiti yang menjalankan kegiatan AI ini untuk memenuhi sebahagian keperluan,” katanya.-BH Online