Sorting by

×

Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports (MAHB) memeterai Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang terpilih.

Menterinya, Anthony Loke berkata, menerusi perjanjian itu, MAHB diberi mandat mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang sehingga tahun 2069.

“Kita memberikan fleksibiliti kepada MAHB untuk melabur dari segi pembinaan kapasiti, menaik taraf lapangan terbang berdasarkan model pelaburan pemulihan.

“Ia akan membantu kerajaan kerana salah satu cabaran terbesar kita dalam menaik taraf lapangan terbang ialah kurangnya peruntukan pembangunan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah antara kerajaan dan Malaysia Airport di sini hari ini.

Tambah beliau, Dana Pembangunan Lapangan Terbang yang merupakan sebahagian daripada perjanjian operasi akan turut ditubuhkan.

Mekanismenya akan ditentukan kementeriannya, bersama Kementerian Kewangan dan tertakluk bagi lapangan terbang baharu dan kerja menaik taraf.